Wednesday, February 22, 2012

Memilih Jodoh : Cantik Harta Keturunan Agama


Dalam memilih jodoh sama ada lelaki atau perempuan, berlakulah pemilihan itu dari berbagai-bagai sudut dan aspek:



1. Ada orang memilih kerana kecantikan, itu kalau lelaki. Kalau perempuan kerana kesegakan dan tampannya seorang lelaki. Kalau itulah yang menjadi target, ia amat merbahaya. Kalau tidak berlaku jangka pendek mungkin akan berlaku jangka panjang. Kerana kalau seorang perempuan itu sudah tidak cantik lagi dan suami  sudah tidak kacak, mungkin disebabkan selalu sakit, atau kerana kerja teruk atau berat, sudah menghilangkan kecantikan atau kekacakannya, atau setelah berumur sudah tentu hilang kecantikan, di waktu itu tarikan sudah tidak ada lagi untuk hubungan kelamin sebab berahi berkelamin sudah lemah, lebih-lebih lagi pula di luar di tempat kerja pergaulan kita bebas pula, rangsangan kepada perempuan atau lelaki lebih daripada isteri atau suami kita, di waktu itu mudah sahaja bergaduh atau bercerai atau kalau tidak bercerai pun oleh kerana anak sudah banyak kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak, perhubungan sudah tidak indah lagi, kerenggangan berlaku. Marah-marah pun mudah berlaku. Singgung menyinggung pun terjadi. Mudah sahaja benci membenci. Kalau begitu di manalah indahnya berkeluarga di waktu itu dan ini juga sangat memberi tekanan psikologi kepada anak-anak. Anak-anak akan menjagi mangsa, mungkin mereka akan menjadi liar, renggang dengan ibu bapa, benci duduk di rumah, suka mencari hiburan di luar rumah, maka mudahlah terjebak dan terlibat dengan dadah, rokok, arak, bohsia, bohjan, melepak, mungkin terlibat dengan zina dan berbagai-bagai jenayah kerana berpunca berpunca daripada rumahtangga yang tidak bahagia dan tidak harmoni.

2. Ada orang memilih jodoh sama ada lelaki atau perempuan kerana kekayaannya. Kaya kerana gaji besar, atau keturunan orang kaya, tidak kiralah cara mana, ini juga amat merbahaya.

Pertama:
Kerana mana tahu dengan takdir Allah Taala, si isteri itu dibuang kerja, atau kekayaan yang ada itu habis. Begitu juga suami jatuh miskin dengan berbagai-bagai sebab boleh berlaku, di waktu itu sudah tentu akan berlaku kerenggangan di atara suami isteri. Mulalah tidak senang antara satu sama lain, benci-membenci pun boleh berlaku, masam-masam muka pun terjadi, pergaduhan dan krisis rumah tangga pun terjadi, pintu terbuka untuk bercerai pun berlaku atau kalau tidak bercerai pun kerana tidak mahu berpisah dengan anak-anak atau kerana hendak menjaga status diri. Tapi apalah ertinya lagi rumahtangga yang sentiasa bergolak dan bergelora macam air laut yang sentiasa bergelombang. Yang akan lemas adalah anak-anak yang tidak berdosa, anak-anak juga akan terjadi seperti yang kita ceritakan di atas.

Kedua:
Biasanya seorang lelaki berkahwin dengan perempuan kerana kekayaannya, begitu juga sebaliknya perempuan menerima seorang lelaki sebagai suami; kalau perempuan selalunya dia tidak begitu hormat dengan suaminya, kerana dia merasakan bahawa suaminya dialah yang menanggung. Atau kalau dia tidak menangungpun, dia merasakan boleh berdikari tanpa pemberian suami. Ada suami atau tiada suamikah, dia boleh hidup sendiri kerana ada memiliki kekayaan. Dengan sebab itu lama-kelamaan taat dan setianya kepada suami itu akan berkurangan. Bahkan kalau suami itu bersandar hidup dengan isteri, isteri biasanya memperhambakan suaminya sesuka hati. Di arah ke sana, arah ke sini, suruh itu, suruh ini, dia akan kontrol suami sesuka hati (queen control). Akhirnya wibawa suami tercabar, kuasa suami sudah tiada lagi, bahkan takut kepada bini atau pak mentua atau mak mentua. Biasa orang kaya, selalunya isteri itu dibacking oleh ibu dan ayahnya. Ada kalanya isteri berani menengking dan mengherdik suaminya. Apakah hidup begini suami boleh tahan selama-lamanya. Apakah suami sanggup dayus sepanjang masa? apakah hidup begini suami merasa bahagia? Kalau pun tidak bercerai, saya rasa hidup berkeluarga begini sudah tentu tidak ada makna apa-apa, tidak ada kemerdekaan, sedangkan rasa kemerdekaan itu satu nikmat dan menjadi cita-cita hidup setiap orang.

3. Ada orang berkahwin kerana keturunan seperti keturunan orang-orang yang bangsawan, umpamanya keturunan raja, keturunan Datuk-Datuk atau keturunan orang-orang besar. Kalaulah perkahwinan itu atas dasar itu sahaja yang tidak ada bersangkutan dengan agamanya, ini amat merbahaya lebih-lebih lagi kalau keturunan bangsawan itu adalah isteri. Di waktu-waktu berselisih faham dia akan menyebut-nyebut keturunannya dan dia akan menghina keturunan suami. Atau biasa orang berketurunan bangsawan itu kalau tidak ada agama, dia sombong dengan suami, atau keluarganya memandang rendah terhadap suami hingga suami akan terasa terhina atau inferiority complex. Di sini boleh mencacatkan kebahagiaan dan keharmonian suami di dalam rumahtangga.

4. Berkahwin kerana agamanya. Seorang berkahwin sama ada lelaki atau perempuan kerana agamanya, itulah yang tepat. Itulah yang dituntut oleh syariat.


Ia adalah dipuji oleh Allah dan Rasul kerana berkahwin di atas dasar agama itu, sama ada dia cantik atau tidak, kaya atau miskin, bangsawan atau orang biasa, masing-masing tetap merendah diri, berakhlak mulia, suami kasih dengan isteri, isteri menghormati suami, suami memberi tanggungjawab terhadap isteri, isteri juga memberi tanggungjawab kepada suami. Akan berlaku tolak ansur, isteri mengutamakan suami, suami bertimbang rasa dengan isteri, ada kerjasama,masing-masing berlumba-lumba hendak khidmat-berkhidmati satu sama lain, maaf-bermaafan, isteri memandang hormat dengan suaminya, suami sentiasa belas kasihan dengan isteri, kedua-dua keluarga dihormati, Allah Taala sentiasa dibesarkan melalui ibadah yang berbagai jenisnya. Perjalanan hidup Rasul diajdikan tradisi kehidupan mereka. Allah, Rasul, Syurga, Neraka, dosa, pahala, menjadi bualan. Walaupun berusaha mencari kekayaan dunia namun ia dipandang kecil, bukan menjadi matlamat, bukan menjadi perbualan. Akhirnya dunia selamat, Akhirat selamat. Wujudlah kebahagiaan dan keharmonian di dalam rumahtangga.


Oleh sebab itulah daripada empat pilihan itu, iaitu kecantikan, harta, keturunan dan agama, pilihlah kerana agamanya. Ia sangat menyelamatkan dunia dan Akhirat kita. Tapi kalau boleh dapat keempat-empat sekali maka bertambah cantik dan indahnya kehidupan berumahtangga itu. Ia bertambah ceria dan berseri tapi payah hendak dicari.

P/S: Subhanallah!

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...