Tuesday, January 8, 2013

Darah yang Keluar ketika Hamil


Bayi 6 Minggu
Darah yang Keluar ketika Hamil
Fuqaha berbeza pendapat tentang status darah yang keluar ketika seorang perempuan itu hamil. Satus ini sangat penting kerana ia menentukan tanggungjawab wanita tersebut dalam beribadat.

Sekiranya darah tersebut adalah haid, dia tidak perlu, malah tidak boleh melakukan ibadah-ibadah yang mensyaratkan pelakunya suci, bebas daripada hadas. Namun jika darah yang keluar itu hanya darah penyakit atau istihadah, wanita itu wajib dan boleh melakukan semua ibadah yang dituntut seperti solat dan membaca Al-Quran.



Fuqaha Mazhab Hanafi
Darah yang keluar semasa hamil sama ada pada permulaam kehamilan, pertengahan ataupun sebelum melahirkan anak adalah darah istihadah. Darah ini tidak menghalang mereka daripada melakukan ibadah, serta persetubuhan.

Fuqaha Mazhab Maliki
Sekiranya darah keluar ketika kehamilan ketika kandungan berusia tiga, empat, lima ataupun enam bulan, dan darah keluar berterusan tanpa henti, mereka menganggapnya sebagai darah haid. Tempoh maksimum haid dalam keadaan ini adalah 20 hari. Darah yang keluar selepas itu dikira sebagai darah penyakit. Tetapi sekiranya darah keluar ketika kandungan berusia tujuh , lapan dan sembilan bulan keatas, sebanyak-banyak haid adalah 30 hari.

Imam Syafii dalam qaul jadid (fatwanya ketika di Mesir)
Darah yang keluar semasa wanita hamil adalah darah haid.

Imam Syafii dalam qaul qadim (fatwanya ketika di Baghdad)
Darah yang keluar ketika hamil bukan darah haid.

Fuqaha Mazhab Hambali
Darah yang keluar ketika hamil bukan darah haid, tetapi darah istihadah. Kerana itu Imam Ahmad Bin Hambal menyatakan bahawa wanita yang hamil dikenali dengan ketiadaan haidnya, pada waktu sepatutnya haid.

RUMUSAN
Perbezaan pendapat dalam perbahasan ini bukan sesuatu yang aneh kerana hukumnya tidak berdasarkan nas naqli, tetapi berdasarkan kajian ahli fiqah berdasarkan teknologi dan pengetahuan yang ada pada masa itu (ijtihad). Peningkatan ilmu perubatan membolehkan status darah yang keluar ketika hamil ditentukan dengan tepat. Pakar perubatan menetapkan darah yang keluar daripada wanita ketika sedang hamil bukan darah haid, tetapi darah istihadah. Oleh itu, wanita hamil yang mendapati terdapat darah keluar daripada saluran peranankannya wajib melakukan ibadah seperti biasa, serta haruus melakukan persetubuhan sekiranya diyakini tidak memudaratkan kandungan ataupun wanita itu.

***Credit to Solusi, Isu 5, 2009

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...